KUALA LUMPUR: Tiada apa yang membahagiakan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selain daripada berpeluang meluangkan masa menenangkan diri atau kini lebih dikenali dengan isitilah ‘healing’ daripada belenggu persekitaran.

Tanpa menjelaskan maksud ‘healing’ daripada perspektif beliau, bekas menteri kanan dan pemimpin UMNO itu berkongsi hantaran dalam akaun media sosial pada Ahad.

Mengiringi kapsyen dalam gambar berkenaan ialah: "Dah 30 tahun dalam dunia politik, sekarang baru dapat masa healing."

Gambar yang kongsi bekas Naib Presiden UMNO itu menunjukkan beliau seolah-olah berada di kawasan seperti padang pasir.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sembrong yang digantung keahliannya dalam UMNO selama enam tahun sejak 27 Januari lalu tidak pula menyatakan atau memberi bayangan lokasi gambar berkenaan dirakamkan.

Rata-rata pengikut Hishammuddin meninggalkan komen yang mengharapkan kepulangan semula beliau ke parti UMNO dan kembali menerajui parti itu.

Bahkan, ramai juga yang menitipkan doa dan harapan kepadanya bahawa akar umbi parti masih menyokongnya dari belakang.

Pada 5 Ogos lalu, Hishammuddin menyambut ulang tahun kelahiran ke-62.